jalan-jalan cari makan

Wasiat Rasulullah SAW

ADAB KETIKA MAKAN DAN MINUM

RASULULLAH SAW bersabda :

"Kalau seseorang diantara kamu makan, maka makanlah dengan tangan kananmu. Kalau minum, maka hendaklah minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya Syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya."

(HR. Muslim)

happy birthday

Daisypath Anniversary tickers
Showing posts with label kek. Show all posts
Showing posts with label kek. Show all posts

Sunday, October 16, 2011

Kek Labu Kismis


Bahan-bahannya :

250 gm gula perang
4 sudu besar tepung serba guna
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1/2 sudu kecil halia parut
2 biji telur
375 gm labu rebus (empuk)
250 ml krim putar
50 gm kismis

Bahan doh :

130 gm mentega
70gm gula ising
1-2 biji telur
200 gm tepung gandum

Cara menyediakannya :

Kita buat dohnya terlebih dahulu. Campurkan kesemua bahan-bahan kedalam mixing bowl dan pukul menggunakan paddle sehingga sebati. Kemudian simpan di dalam peti sejuk selama dua jam sebelum di canai ke dalam kek ring mengikut acuan kek. Tapi perlu diingat, acuannya itu jangan terlalu tebal. Sementara ia disejukkan kita buatkan isian labunya. Masukkan kesemua bahan-bahan kecuali krim putar ke dalam mesin pengisar dan kisar sehingga labu dan gula hancur dan sebati. Pastikan tepung tidak berbintil. Keluarkan kemudian barulah dicampur dengan krim putar. Setelah itu, tuangkan adunan ke dalam acuan dan acuan yang dilapiskan dengan doh pastri. Bakar pada suhu 170c selama 45 min hingga 50 minit.

kek kopi madu


Bahan- bahannya :

150 gm marjerin
50 gm gula kastor
25 gm madu
3 biji kuning telur
1 sudu makan kopi segera
150 gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
3 biji putih telur
50 gm gula pasir
50 gm cip coklat/walnut

Cara-caranya :

Pukul marjerin dan gula kastor sehingga lembut. Masukkan madu dan pukul rata. Masukkan kuning telur dan kopi segera. Pukul rata. Masukkan tepung gandum dan serbuk penaik sambil di ayak dan di kacau rata. Ketepikan. Pukul putih telur sehingga setengah kembang. Masukkan gula pasir sedikit demi sedikit sambil dipukul hingga kembang. Tuangkan kedalam campuran tepung gandum sedikit demi sedikit sambil dikacau perlahan. Masukkan cip coklat atau walnut dan kacau perlahan. Tuangkan ke dalam loyang yang telah disapu dengan marjerin. Bakar selama 40 minit pada suhu 170c atau sehingga masak.

Saturday, October 15, 2011

Blended orange cake


Bahan- bahannya :

1 biji buah limau
1 cawan minyak
2 cawan gula halus
3 biji telur
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder (diayak bersama)

Cara-caranya :

Cuci buah limau, potong dan buang biji dan urat putih di tengah-tengah. Potong lagi buah limau kecil-kecil bersama kulitnya sekali. Masukkan ke dalam blender bersama minyak, gula dan telur dan kisar hingga halus. Tuang bahan yang dikisar ke dalam mangkuk dan masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau sebati. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang beralas dan gris. Bakar pada suhu 170c selama 40 minit hingga 1 jam atau hingga masak. Kek yang paling senang...slmt mencube:)

Wednesday, July 20, 2011

kek keju


Bahan lapisan keju :

500 gm keju
140 gm gula
2 biji telur

Cara-caranya :

Putar keju dan gula sehingga putih. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Ketepikan.

Bahan lapisan kek span :

125 gm tepung kek span
2 biji telur
50 ml air
50 ml mentega cair

Cara menyediakannya :

Putar tepung, telur, air dan mentega cair sehingga kembang. Bakar pada suhu 180 drj celcius selama 40 minit. Bila masak, potong bahagian tepi dan atas.

Bahan lapisan biskut :

1 cawan serbuk biskut marie
1/4 cawan marjerin cair

Cara menyediakannya :

Ratakan lapisan biskut ke dalam acuan. Biarkan sebentar di dalam peti sejuk. Lapiskan dengan lapisan kek span. Tuangkan lapisan keju. Bakar selama 40 minit dengan suhu 150 drj celcius.

* kek mestilah di bakar secara kukus. Acuan kek diletakkan di dalam loyang yang berisi air. Selepas bakar, jgn keluarkan kek terus dari oven. Buka pintu oven dan biarkan kek sejuk di dlm oven, ni utk mengelakkan permukaan kek merekah. Kek hendaklah disejukkan semalaman sebelum dimakan.

Tuesday, July 19, 2011

kek sonata musim salju


Bahan-bahan :

250 gm mentega
1/2 cawan gula halus
2 1/2 cawan tepung naik sendiri
1 cawan susu segar
5 biji telur
2 sudu besar sunquick oren
jem strawberi, blueberi, resberi
kelapa kering

Cara-cara :

Pukul mentega dan gula hingga kembang. Masukkan telur satu persatu, kemudian masukkan tepung sikit-sikit, masukkan sunquick. Bila dah sebati masukkan susu. Setelah siap di adun, masukkan dalam loyang. Bakar selama 1 jam, setelah masak, sapu jem diatas nya dan tabur kelapa kering..dah siap...selamat mencuba..

Friday, June 24, 2011

Kek Polos


Bahan-bahan :

6 biji telur
1 1/2 cawan gula (asalnya 2 cawan tapi nanti manis sangat)
2 cawan planta (jangan guna butter nanti hilang rasa kampung)
3 cawan tepung naik sendiri
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-caranya :

Pukul planta dengan gula sampai kembang. Lepas tu masukkan telur dan esen vanilla. Pukul lagi. Masukkan tepung dan kaup, balik2 kan sehingga sebati. Masukkan dalan acuan. Bakar selama 45 minit - 1 jam atau sehingga masak.

Kek polos dan sukatan lama

Polos....maknanya kosong. Kosong yg dimaksudkn ialah kek yg tak disalut atau dihias dgn aising, coklat cair ataupun dilapis dgn krim atau dicampur dgn bahan-bahan lain. Kek yg dibuat di atas tu ialah kek lama yg tak dicampur dgn bahan-bahan lain, tanpa perisa n tanpa dihias. Malahan sukatannya pun menggunakan cawan dan tidak menggunakan metrik.

Ok la...berbalik kpd kisah kek polos ni, klu nk beraya kek mcm ni senang dihidangkan. Nak makan pun senang, tak la comot tangan dan mulut terkena aising. Tapi tak bermakna kek yg dihias tu xelok, jgn slh anggap. Cuma mama nk menggamit nostalgia lama.

Dalam membuat kek, kadang kala jgn terlalu taksub dgn sukatan. Yg penting tepung selalunya satu cawan, planta 1 cawan, gula 1 cawan, dan telur dalam 4 biji cukup la..dah boleh dijadikan kek. Yang lain tu cuma bahan-bahan tambahan je. Kalau tepung dibanyakkan, kita boleh bubuh susu segar ataupun cecair yang sesuai. Yang penting bila semuanya sudah dipukul kadar kepekatan adunan tu tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Kadangkala kalau kek yg xnaik ni sedap gak rasanya sebab ia jadi lembab. Mcm rasa kek lapis la ibaratnya, keknya mana nak tinggi sebab ia dibakar berlapis-lapis dan disapu dgn jem atau kaya yg menjadikan kek itu lembap.

Oleh itu, yang pertama kali nak buat kek tu....jangan takut-takut. Buat sekali tak menjadi jangan putus asa. Paling tidak kena korbankan sedozen telur dan sekilogram planta, barulah menjadi. Ada yang buat sekali je dah menjadi..tu kira nasib memang baik. Seronok tau kalau belajar buat kek. Kalau dah jadi sekali, pasti lepas tu anda akan terus ingin mencuba. Lepas tu mula la kek tu dibega dgn pelbagai perisa. Nak bubuh itu dan ini sebagai bahan tambahan. Tak salah. Asal ia masak dan boleh dimakan xkisah la...Apa pun kalau ia dibakar dalam oven pasti akan masak, tinggal sedap atau tak la...oleh itu, baiklah mencuba, tapi bagi yang dah pandai buat kek tu xpayah lah lagi....Oleh itu jgn berlengah lagi, cuba la buat kek raya tahun ni....Okey...boleh, InsyaAllah..........


Wednesday, June 22, 2011

kek nanas carrot dengan keju


Alhamdulillah, blog mama dah berusia 1 bulan.. happy birthday,, thanks to my follower yg sudi follow mama :D sempena blog dah usia sebulan, mama sediakan kek nenas carrot dengan keju. selamat mencuba :)

300 gm tepung superfine
1 camca teh baking soda (ayakkan kedua-dua tepung)
2 camca teh serbuk kayu manis
1 camca teh serbuk buah pala
250 gm carrot, diparut
250 gm nanas segar, diparut
4 biji telur
320 gm gula kastor
sedikit minyak


keju krim utk lapisan atas :

250 gm krim keju, dilembutkan
100 gm gula aising, diayak
30 gm mentega

Panaskan ketuhar ke 170 darjah celcius. Minyakkan satu loyang pembakar 21 cm. Masukkan tepung ke mangkuk adunan besar. Campur gula, buah pala dan serbuk kayu manis. Gaul sebati dan ketepikan. Masukkan 1/2 bahagian minyak, nanas parut, carrot dan 2 biji telur ke dlm blender. Putar selama 1/2 minit. Tuangkan ke dlm campuran tepung dan gaulkan sebati. Kisar bahan-bahan yg lain dan campur kepada adunan tadi. Tuang ke dalam loyang pembakar dan bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak. Biar di dalam tin selama 10 minit. Untuk membuat krim keju, masukkan keju, gula aising, serbuk vanilla dan pukul hingga gula cair. Sejukkan campuran keju di dalam peti sejuk selama 1/2 jam, kemudian sapu ke atas kek nanas carrot.

* pastikan kek sejuk 100%.

Thursday, June 9, 2011

Brownies coklat


Bahan-bahan :

340 gm coklat cair
210 gm mentega
370 gm gula
5 biji telur
210 gm tepung kek
200 gm kacang walnut
80 gm kismis

Cara menyediakan :

Pukul mentega dan gula perlahan-lahan sehingga sebati. Masukkan coklat cair. Pukul telur dan masukkan ke dalam adunan, kacau lagi sehingga rata. Masukkan tepung, walnut dan kismis dan kacau lagi sehingga sebati. Masukkan adunan ke dalam loyang pembakar dan bakar dalam ketuhar dengan suhu 180 darjah celcius selama 20 minit.

Monday, June 6, 2011

kek coklat fudge


Bahan- bahannya :

250 gm mentega
2 1/2 cawan gula kastor
4 biji telur
1 cawan serbuk koko
1/2 cawan coklat cair
1 cawan air masak
1 cawan susu cair
3 cawan tepung naik sendiri

Cara menyediakannya :

Pukul gula dan mentega sehingga kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Masukkan susu cair, air masak, koko dan coklat cair. Akhir sekali masukkan tepung. Bakar selama 1 jam 30 minit pada 160 darjah celcius. Biar sejuk dan hias dengan coklat fudge.


Bahan coklat fudge :

1 tin susu cair
1 cawan air
1 cawan serbuk koko
4 biji kuning telur
4 sudu besar tepung jagung
1 1/2 cawan gula kastor
250 gm mentega
1/4 sudu kecil garam
1/4 sudu kecil vanila

Cara menyediakannya :

Masak kesemua bahan sehingga pekat. Biar sejuk sebelum dihias diatas kek.

Kek lapisan kaya pandan


Lapisan kek :

Bahan A:

6 biji putih telur
3 gm krim tartar
100 gm gula kastor

Bahan B:

6 biji kuning telur
40 gm susu segar
40 gm minyak jagung
25 gm gula
secubit garam
110 gm tepung super fine
4 gm serbuk penaik
1/2 sudu kecil pewarna hijau
1 sudu kecil perisa pandan

Cara menyediakannya :

Kacau semua bahan A sehingga gebu. Dalam bekas yang lain, kacau bahan B hingga sebati. Campur kedua-dua bahan A dan B. Tuang ke dalam acuan kek dan bakar selama 30 minit pada suhu 180 darjah celcius.

Lapisan kaya pandan :

Bahan A :

676 gm santan pekat
676 ml air
18 gm serbuk agar-agar
1 sudu kecil pati santan (pewarna hijau)
200 gm gula

Bahan B:

75 gm serbuk how kwee (berwarna hijau)
185 gm air

Bahan hiasan :

kelapa kering

Cara menyediakannya :

Kacau sebati bahan A.Masak atas api sederhana selama lima minit. Bahan B dikacau rata dan sebati dan tuangkan ke dalam adunan A. Masak kedua-dua bahan sehingga pekat.

Kek kukus Arab


Bahan A :

480 gm mentega
150 gm susu pekat manis
50 gm kaya

Bahan B :

10 biji telur gred A
250 gm gula kasar

Bahan C :

250 gm tepung gandum
2 sudu besar horlicks
2 sudu besar serbuk penaik
2 sudu besar soda bikarbonat

Bahan D :

350 gm buah kurma (cincang kasar)
350 gm buah prun (cincang kasar)
8 sudu browning
100 ml UHT krim putar

Cara menyediakannya :

Pukul bahan A sehingga kembang dan gebu. Dalam bekas yang berasingan pukul bahan B hingga kembang. Ayak bahan C kecuali horlicks dan masukkan kedalam bancuhan B dan pukul hingga kembang. Akhir sekali, satukan bahan A dan D. Masukkan ke dalam acuan 8 inci x 8 inci x 3 inci. Tutup dengan aluminium foil dan kukus selama empat jam dengan api yang perlahan.

Wednesday, June 1, 2011

Kek coklat nescafe berwalnut
















Bahan-bahannya :

1/2 cawan tepung naik sendiri
1/3 cawan tepung jagung
1 cawan gula kastor
4 biji telur
1/2 cawan walnut hancur
2 sudu besar serbuk koko
1 cawan mentega
1/2 cawan susu segar
1/2 sudu besar nescafe

Cara menyediakannya :

Pukul mentega dan gula hingga gebu. Masukkan telur. Kemudian masukkan tepung jagung dan tepung naik sendiri. Tuangkan walnut dan susu segar. Kacau sebati dan masukkan nescafe dan serbuk koko. Bakar seperti biasa 45 minit.

Kek jem blueberi















Bahan-bahannya:

1 cawan mentega
1 cawan tepung kek
1 sudu kecil serbuk penaik
1 cawan susu tepung
4 biji telur
1 cawan susu segar
1 cawan gula
1 sudu kecil esen oren
1 sudu besar kulit lemon (sagat)
4 sudu besar jem blueberi
3 sudu besar walnut hancur

Cara menyediakannya :

Pukul mentega dan gula hingga gebu. Setelah itu pecahkan telur satu persatu dan pukul laju. Masukkan esen, susu segar, susu tepung dan tepung yang diayak bersama serbuk penaik. Akhir sekali masukkan kulit lemon dan walnut. Tuangkan kedalam loyang sebahagian adunan. Masukkan jem di atasnya. Tak perlu diratakan, cukup sekadar disudukan pada bahagian tengah adunan lapisan pertama. Tak kisah jika ia tak rata. Selepas itu tuangkan lagi lebihan adunan. Kalau boleh loyang jangan terlalu lebar. Bakar seperti biasa 45 minit.

Kek kelapa


Bahan-bahannya:

3 cawan tepung kek
1 cawan gula kastor
1 sudu kecil serbuk penaik
1 1/2 cawan susu segar
1/2 cawan mentega
1 sudu kecil esen vanila
2 biji telur
3/4 cawan isi kelapa

Cara menyediakannya:

Mula-mula kita panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah celcius. Seperti biasa pukul mentega dan gula hingga gebu. Masukkan telur satu persatu dan tuangkan esen vanila. Tepung dan serbuk penaik kita ayak dulu. Tuangkan sedikit demi sedikit dan tuangkan susu segar. Pukul selama 2 minit lagi dengan kelajuan cepat dan masukkan isi kelapa. Gaul sebati dan seperti biasa bakar kek selama 45 minit.

Kek kentang


Bahan-bahannya :

3/4 cawan majerin
3/4 cawan gula kastor
4 biji telur
3/4 cawan tepung gandum
2 sudu besar susu tepung
1 cawan kentang lenyek (kukus dan lenyek)
sedikit badam cincang

Cara menyediakannya:

Pukul marjerin dan gula hingga kembang. Kalau tak ada marjerin, mentega pun boleh ataupun minyak. Masukkan telur dan pukul hingga kembang. Akhir sekali masukkan tepung, susu dan kenteng lenyek, gaul sebati. Tuangkan adunan di dalam loyang dan taburkan badam cincang di atasnya.

Kek keju coklat












Bahan-bahannya:

250 gm krim keju
85 gm mentega
50 gm gula
2 biji kuning telur
3 biji putih telur
35 gm tepung
100 gm coklat masakan (cairkan)
1 sudu kecil esen vanila

Cara menyediakannya:

Putarkan krim keju, gula dan mentega. Masukkan kuning telur, vanila dan putar hingga kembang. Dalam bekas yang lain, putar putih telur dan gula hingga gebu. Gaulkan kedua-dua adunan hingga sebati dan masukkan tepung dan coklat yang telah dicairkan. Gaul lagi hingga sebati menggunakan senduk kayu ataupun plastik. Bakar pada suhu 160 darjah celcius selama 60 minit.

Friday, May 27, 2011

Kek prun kukus


Bahan-bahannya :

10 biji prun (tanpa biji)
125 ml air
1 biji putih telur
1/4 cawan gula kastor
370 gm tepung serba guna
1 camca teh soda penaik
250 ml santan daripada 1/2 biji kelapa
125 ml minyak masak
2 biji kuning telur

Cara membuatnya :

Masak prun bersama air di dalam periuk di atas api sederhana sambil ditekan sehingga hancur. Biar prun sejuk. Putar putih telur bersama gula kastor sehingga kental. Putar tepung serba guna bersama soda penaik, santan, minyak masak dan kuning telur sehingga sebati. Kaup dan balikkan putih telur di dalam adunan sehingga sebati. Masukkan prun. Ratakan adunan di dalam acuan pilihan, kukus 30 minit sehingga masak.

Kek betik lembap

Bahan-bahannya :

250 gm gula halus
250 gm mentega
6 biji kuning telur
4 biji putih telur
350 gm tepung serba guna
1 1/2 camca teh soda penaik
250 gm puri betik
1/2 camca teh esen vanila
2/3 cawan dadih perisa strawberi

Cara membuatnya :

Putar gula halus bersama mentega sehingga kembang.
Masukkan kuning telur bersama putih telur sedikit demi sedikit sambil diputar sehingga habis.
Masukkan tepung serba guna yang telah diayak bersama soda penaik. Putar sehingga sebati.
Kaup dan balikkan puri betik bersama esen vanila dan dadih perisa strawberi di dalam adunan
sehingga sebati.
Ratakan adunan di dalam tin bakar segi empat ukuran 18 cm yang di alas dengan kertas minyak dan dilengser dengan sedikit mentega. Bakar adunan pada suhu 200 drj clcius sehingga masak.

kek keju mangga


Lapisan bawah :

150 gm mentega
1/4 cawan gula halus
1 biji telur, dipukul
1 1/2 cawan tepung, diayak
1/2 cawan kelapa parut, dibakar
sedikit air

Lapisan atas :

500 gm keju krim
1/2 cawan tairu berperisa mangga
1 cawan madu
4 biji telur, asingkan putih dan kuningnya
1/2 cawan susu sejat penuh krim
1 camca teh esen vanila
1 1/2 cawan puri mangga masak

Cara membuatnya :

Untuk menyediakan lapisan bawah, gaul rata semua bahan dan tekan di dlm acuan springform
berukuran 25cm. Bakar 15 minit pd suhu 180 drj clcius. Angkat dan sejukkan.
Untuk menyediakan lapisan atas, campur keju, tairu, madu, kuning telur, susu dan vanila. Pukul sehingga sebati, masukkan puri mangga.
Menggunakan bekas lain, pukul putih telur sehingga kembang dan masukkan di dalam adunan berkeju. Kacau rata. Tuang adunan di atas lapisan bawah. Alas acuan kek dengan kertas aluminium. Letakkan di dalam loyang berisi air panas dan bakar kek didalam ketuhar sejam pada suhu 180 drj clcius. Apabila kek masak, padamkan ketuhar. Biarkan kek sejuk di dlm ketuhar 2-3 jam, barulah dikeluarkan.

Jika suka, hias kek dengan hirisan mangga dan kelapa goreng di atasnya.
Sebaiknya, sejukkan kek semalaman sebelum dihidangkan.

Kek pisang lobak merah berwalnut


Bahan-bahannya :

2 biji telur
80 gm gula kastor
2 biji lobak merah, dibuang kulit, dibersih dan diparut halus
2 biji pisang masak, dilecek halus
166 gm tepung berserbuk penaik
60 gm walnut, dicincang halus
80 ml minyak masak
setitik esen vanilla
sedikit gula aising

Cara membuatnya :

Putar telur bersama gula kastor sehingga kembang dan ringan.
Masukkan lobak merah bersama pisang lecek, kacau sehingga sebati.
Kaup dan balikkan tepung berserbuk penaik dan walnut sehingga sebati.
Putar adunan sebentar. Masukkan minyak masak bersama esen vanilla, putar seminit.
Ratakan adunan di dlm tin bakar bulat ukuran 16cm yg telah dilengser dgn sedikit mentega.
Bakar kek pd suhu 180 darjah celcius, 45 minit atau sehingga masak.
Tabur gula aising di atasnya sebelum dihidangkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...